Followers

TALAM - Menjawablah Kepada Rakyat

Thursday, December 13, 2012


1. Datuk Chua Tee Yong, Ketua Biro Muda Profesional MCA mendakwa wujud penyelewengan bernilai hampir RM1bilion membabitkan RM392 juta bagi meyelesaikan hutang Talam Corporation Berhad (Talam) dan pembelian ‘penuh tanda tanya’ ke atas aset Talam berjumlah RM676 juta. Beliau juga turut mendedahkan Kerajaan Negeri membeli tanah pajakan milik Talam dengan harga RM42 juta lebih tinggi dari harga pasaran dan keadaan tanah tersebut mempunyai komplikasi tanah iaitu berada di bawah air dan kawasan simpanan hutan.

 2. Isu Kerajaan Selangor dan Talam menimbulkan keresahan pihak awam, apabila rakyat mempersoalkan mengapakah Talam yang menjadi pilihan Kerajaan Negeri Selangor. Apabila DAP-PKR-PAS mengambilalih kerajaan Negeri Selangor, pada tahun 2009 mereka telah membuat keputusan untuk mengambilalih hutang Talam kepada subsidiari Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

3. Rakyat mula mempersoalkan apakah rasional Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) meminjam RM 392 juta untuk mengambil alih hutang? Bukankah jumlah tersebut sewajarnya diperuntukkan kepada manfaat lain berbanding untuk menyelamatkan (bailout) Talam? Menyelamatkan sebuah syarikat adalah perkara yang kerap kali dikritik oleh pemimpin PKR-PAS-DAP terhadap penyelamatan Indah Water, MAS dan keretapi ringan (Putra/ Star)? Siapakah sebenarnya yang mendapat manfaat dari pengstrukturan ini. Adakah pembelian hutang merupakan keutamaan kerajaan negeri berbanding perkara-perkara lain? 

4. Umumnya mengetahui Talam menerusi subsidiari milik penuhnya, Maxisegar Sdn Bhd (MSSB) telah menandatangani kontrak dengan Kerajaan Selangor untuk membiayai dan membina semula kampus utama UNISEL di tanah seluas 572.16 ekar di Bejuntai Bestari dengan kos keseluruhan pembangunan sebanyak RM750 juta. Namun MSSB gagal menyudahkan bahagian akhir projek UNISEL kerana tidak dapat memenuhi syarat kewangan untuk menampung kos pembangunan berjumlah sekitar RM134 juta (Laporan Tahunan Talam 2009). Talam juga syarikat berstatus PN17, dilabel mempunyai masalah kewangan. Pada tahun 2010 mereka mahu mengurangkan hutang dari RM3bilion kepada RM300 juta dan mahu mengurangkan 3,000 ekar tanah daripada jumlah penuh 7,000 ekar.

5. Kerajaan Selangor melalui apa yang mereka sebut `round tipping’ mengambilalih hutang ini melalui subsidiari mereka. Syarikat Perindustrian Selangor (SIC) menjadi entiti khas membayar hutang Talam kepada Kerajaan Negeri. SIC membuat pinjaman sebanyak RM 392 juta dari CIMB dan menjual hutang kepada MBI, badan pelaburan kerajaan negeri. Oleh kerana Bajet 2009 Selangor tidak memperuntukkan jumlah RM392 juta, mesyuarat EXCO Selangor pada 2 November 2009 telah meluluskan geran daripada kerajaan Negeri kepada MBI untuk membeli hutang SIC.

6. Rakyat merasa sangat terkejut apabila Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan untuk menyaman MCA terhadap dakwaan penyelewengan RM1bilion dan beliau tidak akan membuat apa-apa ulasan demi untuk tidak mengganggu proses perundangan. Tentunya rakyat menilai tindakan ini sebagai usaha untuk menutup mulut pelbagai pihak daripada terus mempersoalkan dakwaan tersebut. Keadaan ini juga menggambarkan sikap kerajaan yang ‘cakap tak serupa bikin’ yang sering melaungkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang diamalkan ke atas pentadbiran mereka.

7. Apakah sebenarnya kemahuan rakyat? Jika satu pihak membuat dakwaan dan satu pihak lagi perlu menjawab dan memperjelaskannya. Kerajaan negeri sepatutnya menjawab setiap persoalan membabitkan dakwaan itu, bukannya mengambil tindakan saman yang seolah-olah tidak mahu ada pihak mempersoal tindakan tersebut. Jika kerajaan negeri mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, mereka sepatutnya mendedahkan butiran terperinci mengenai transaksi pengambilalihan hutang dan aset syarikat tersebut sebagai menjawab segala dakwaan serta persoalan yang dilemparkan mengenai isu tersebut kepada rakyat negeri ini.

8. Isu ini bukan soal peribadi antara pemimpin dengan pemimpin. Ia adalah isu yang memerlukan jawapan dari pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri kepada rakyat. Rakyat menunggu jawapan dari kerajaan Negeri terhadap dakwaan tersebut. Jika kerajaan Negeri merasakan dakwaan itu tidak benar, kenapa mereka harus takut, dedahkan sahaja butiran mengenai perkara itu biar rakyat Selangor mengetahuinya dan menilainya.

9. Rakyat patut tahu apa yang berlaku di pentadbiran Kerajaan Selangor. Mengurus negeri bukan seperti mengurus syarikat peribadi. Semoga ‘Darul Ehsan’ ini tidak ditadbir dengan caca marba. Kertas Putih berkaitan isu ini yang dijanjikan juga tidak didedahkan sehingga kini. RM1bilion bukan jumlah yang sedikit. Jika diberikan kepada mereka yang layak menerima BR1M, 2 juta rakyat akan mendapat manfaat tersebut.
Read more >>

Terang Sudah Kelihatan

Wednesday, June 6, 2012

1. Memulakan TERANG (Tekad Rampas Selangor) dengan penerangan politik ala Steve Job, penggunaan perisian Power Point, LCD, sistem audio yang efektif sememangnya menjadi impian saya dalam siri Pidato Politik. Sebaik sahaja dilantik menjadi Pengerusi SERANG, pendidikan politik menjadi keutamaan dan TERANG adalah judulnya. Pidato politik mesti berubah wajah sesuai dengan cita rasa anak muda.

2. Diperingkat awal program ini dicebik oleh rakan dan taulan. Mengapa mesti ceramah politik yang menjadi keutamaan? Mengapa harus belanja besar dalam ceramah? Cukuplah sekadar mikrofon, speaker dan pa sistem taraf surau. Perkara baru mesti tidak terlepas dari kritikan. Semuanya mesti ditelan dalam usaha supaya anak muda tekun dalam sesi ceramah politik. Bukan sedikit cabaran yang dihadapi di peringkat awal. Ada rakan yang menyediakan tempat tanpa kelengkapan pa sistem yang baik ada juga internal politiking mengganggu kelancaran program.

3. TERANG sudah tamat menjelajah ke seluruh negeri Selangor. Tidak kira di mana garaj basikal, dewan masyarakat, bawah flat, restoran makan semua tempat telah saya turuni. Menjadi kebiasaan ke setiap DUN saya lawati akan disusuli dengan pelawaan dalam DUN yang sama. Biasanya saya menolak kerana tanggungjawab yang besar di seluruh Selangor.

4. SERANG sudah punya pasukan ini yang bersedia pada bila-bila masa.Biar pun ada perbandingan di kalangan khalayak namun pasukan ini jangan mudah putus asas. Ingat 10,000 jam akan menjadikan kita lebih baik. Pasukan ini mesti mengkaji lebih berkaitan NLP - Neuro Ligustic Program. Fahami covert hypnosis, tekuni bahasa debat Obama dan fahami `The Power Of 3' - Steve Job.

Kini saya memulakan TERANG 2.0 dengan tema "Oh.. Selangorku". Tunggu..
Read more >>

Tertipu Jua Akhirnya

Monday, May 28, 2012

1. Jika pertama kali tertipu anggap ia sebagai kekhilafan, jika ditipu berterusan maka terzahir kejahilan. Wajar mencari pencerahan.
2. Semoga rakyat Selangor sedar janji-janji PRU 2008, masih banyak yang belum tertunai.

Utusan Malaysia, 28 Mei 2012, ms 10.
Read more >>

Mencari Warisan Melayu Dalam DAP

Wednesday, May 16, 2012

1. Ramai yang gusar dengan kehadiran Melayu ke dalam DAP. Dengan imej keCinaan yang ada pada DAP tentulah sesuatu yang pelik deretan orang Melayu mengisi ruang dalam DAP. Nama seperti Zairil Khir Johari, lulusan Uitm Fairuz Azhan & Dyana, Hatta Watari - mantan Presiden NUJ, Blogger mantan UMNO Dato Ariff Sabri & Aspan Alias dan meletakkan Tunku Abdul Aziz Ibrahim sebagai Senator dan Naib Pengerusi DAP.

2. Dari catatan sejarah, orang kesatuan sekerja Melayu kerap kali dipinang oleh DAP. Nama seperti Ahmad Nor, Zainal Rampak dan Ahmad Ton adalah pemimpin kesatuan sekerja. Ahmad Nor merupakan orang Melayu pertama terpilih sebagai Ahli Parlimen setelah memenangi kerusi Bayan Baru (1990) setelah tewas di Gopeng pada tahun pada tahun 1987.

3. Sebenar DAP sudah melahirkan 6 orang Ahli Parlimen Melayu; Ibrahim Singgeh (1969) - Tapah Road, Hj Hassan Ahmad (1969) - Si Rusa, Ahmad Nor (1990) - Bayan Baru, Daing Ibrahim, Salleh Nakhoda Hitam dan Fadzlan Yahya (Pasir Berdamar). Antara aktivis lain yang saya ingat adalah seperti Syed Ali Mokhsin dan Abdul Muluk Daud (Dharmala N.S).

4. Hayat orang Melayu dalam DAP tiada akan lama. Zainak Rampak keluar dari DAP. Mana perginya deretan orang Melayu yang dipinang oleh DAP dalam Projek Tanjung 3 Pulau Pinang pada tahun 1995? Terkini Tunku Abdul Aziz Ibrahim memilih jalan berpisah. DAP adalah parti yang tidak boleh ditegur walau pun oleh ahlinya sendiri.Seperti biasa mereka yang keluar dari DAP akan dicerca dan ditohmah. Dinasti Lim dan Karpal membina empayar sama seperti Anwar di Parti Keadilan. DAP adalah parti perkauman Cina yang bertopeng beberapa kerat anak Melayu. Tunggulah berapa lama anak muda Melayu boleh bertahan dalam DAP.

5. Orang Melayu yang memahami Deklarasi DAP Setapak 1967 tentu sekali tidak akan bersama DAP. Orang Melayu yang memahami peristiwa 13 Mei 1969 tentu sekali tidak akan bersama DAP. Orang Melayu yang memahami bagaimana Lee Lam Thye bersara politik tentu sekali tidak akan bersama DAP.
Read more >>

PTPTN di SERANG ?

Sunday, April 22, 2012

Menggelisahkan rakyat itu mudah. Membangunkan rakyat itu resah. Menyedarkan rakyat itu dakwah.

Read more >>

Memimpin Mahasiswa

Thursday, April 19, 2012

1. Demonstrasi mahasiswa 1974 mengungkit 'kematian' seorang tua akibat kemiskinan di Baling. Demonstrasi silih berganti mengikut acuannya dan yang terkini mereka beriadah di Dataran Merdeka untuk menidakkan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN). Anak muda memang berhak menzahirkan apa yang mereka anggap betul.
2. Apakah keutamaan yang mereka anggap betul? Bukankah menamatkan pengajian dengan cemerlang adalah menjadi keutamaan berbanding yang lain.PTPTN tidak perlu dibayar jika mereka mencapai keputusan cemerlang. Jika mereka tidak selesa dengan PTPTN mereka boleh mendapatkan pembiayaan dari yang lain. Anak muda yang waras pun - jika kerap dibakar emosi akan menjadi kuda tunggangan.
3. Adakah dengan meletakkan gambar dan mengalungkan bunga ke atas PM dan Menteri Pengajian Tinggi merupakan tindakan yang betul? Zalimkah pemerintah di negara ini sehingga sehina itu mereka diperlakukan.Kita cabar mereka berilah yuran percuma untuk UNISEL dan Kuis di Selangor - jangan dengan wang sara diri.
4. Ada kelompok yang diserang bergelut di awal pagi. Membeza seperti betul dan propaganda agak sukar kebelakangan ini kerana diracik begitu sempurna.
Realitinya demonstrasi adalah seperti bara api dan yang melihat jarang sekali memberikan air, menyimbah minyak afdal sekali.
Read more >>

Buletin Utama - Terus Menyerang

Sunday, March 18, 2012


Anak muda terus bersuara sempenan sidang DUN Negeri Selangor
Read more >>

Bah Besar

Tuesday, March 13, 2012

1. Siapa menyangka bah besar yang melanda Hulu Langat antara yang terburuk dan mimpi ngeri bagi penduduk sekitarnya. Bersama rombongan Sukarelawan Jom Bantu! Pemuda Sungai Besar awal pagi meredah kesejukan setelah program TERANG PDM SMK Sungai Besar. Kami sampai jam 3 pagi dan mencari tempat penginapan segera untuk melelapkan mata.

2. Malam sebelumnya saya bersama sdra Mahmud, KP Hulu Selangor di kawasan Sungai Buaya dalam misi TERANG bersama jentera orang muda di Dun Batang Kali. Uniknya ada berlaku pertambahan pengundi yang drastik di PDM pinggir bandar. Sungai Buaya cukup unik kerana PDM kampung adalah kekuatan tradisi UMNO manakala PDM pekan agar bercampur-campur. Saya dapat pengajaran bahawa isu lokal sangat penting diselesaikan. Masalah tanah di Sungai Buaya mesti dicari penyelesaian. PRU ke 12 memberi pengajaran apabila interchange Sungai Buaya rupanya sudah 3 kali majlis pecah tanah.

3. Taklimat banjir bersama hampir 500 orang sukarelawan belia. SERANG ditempatkan di Kampung Hulu Perdik dan kemudian terus ke Kg Jawa. Cukup menyayatkan hati apabila barang keperluan dan perabot musnah dihanyutkan air. Ada mak cik yang bergenang air mata menceritakan air naik tanpa dapat ditahan-tahan. Anaknya masih belum pulang bertugas di Kuala Lumpur. Begitulah apabila alam menunjukkan rasanya tiapa siapa dapat membendung.

4. Kami bertembung dengan sepasukan penyelidik berbangsa Cina (DAP?), yang tidak membantu orang kampung mengemaskan barang tetapi sekadar mendapatkan nombor telefon dan bertanya apa tentang keperluan orang kampung. Pasukan ini cukup cerdik apabila tiada sebarang logo parti hanya berbaju biru tua dan berseluar putih.Tentunya pelik dikawasan majoriti kampung tradisi Melayu, penyelidik DAP yang masuk ke kampung. Mana perginya unit AMAL PAS yang sentiasa gah menjaga jalan raya ketika ceramah? Adakah kerana tiada kutipan derma maka mereka tidak bertugas.


5. Malamnya bersama jentera orang muda DUN Dusun Tua dengan program santai dan TERANG. YB Ismail Sani dan Azhar Hambali turut sama hadir. Hampir 100 orang jentera orang muda turut sama hadir. Sudah sampai masa kita tidak perlu bergaduh hanya kerana topi, bendera dan vest. Jika tewas PRU 13, segalanya menjadi tidak bermakna. Sifirnya mudah jangan ada sabotaj sesama jentera parti.


"Malam cerah ada bintang namun mendung ciptaan sendiri ada kalanya turut sama berarak"

Read more >>

Setelah Hujan

Friday, March 9, 2012

1. 'Setelah Hujan' merupakan tajuk lagu kumpulan Search antara bait yang saya ingati ialah 'Ada cahaya yang terpancar Mencelahi warna yang tadinya kelabu'.Ini tekad perjuangan kita dalam usaha merampas kembali Selangor. Hujan lebat dan banjir di sekitar Taman Medan tidak sedikit pun melunturkan semangat saya dan rakan-rakan untuk terus menyerang Kerajaan DAP-PKR-PAS.

2. Mereka yang hadir sekitar hampir 150 orang merupakan jentera utama pemuda dan puteri juga tidak berganjak walau pun hujan. Tekad mereka merampas Selangor sangat kuat azamnya. Tidak tertahan bagaimana kerajaan yang sedia ada tidak menghormati institusi Melayu, Islam dan Raja.
3.Pertama kali berceramah di bawah flat satu pengalaman yang bercampur baur. Melihat kelompok Melayu pinggir bandar yang bergelumang dengan ekonomi namun dalam masa yang sama tetap berfikir tentang masa depan bangsa. Mereka lebih baik dari sesetengah profesional Melayu yang sering mendabik dada tentang taraf diri mereka namun miskin nilai keMelayuan. Ramai juga di kalangan mereka yang tidak ambil endah tentang tanggungjawab mengundi.

4. Terima kasih Riduan, Jamilah dan Ketua Bahagian YM Raja Hanipuddin yang turut sama hadir memberikan sokongan.
Malam ini kita jumpa di Sungai Buaya di DUN Batang Kali.
Read more >>

Semakin Deras

Monday, March 5, 2012

1.DUN Sabak menjadi destinasi SERANG seterusnya. Lebih menggembira kepimpinan utama YB Datuk Rahman dan YB Datuk Warno turut sama hadir. Biar pun ada mendung yang berarak namun demi parti mereka terus memberi sokongan kepada Samad dan Farhana. Lebih 100 orang jentera anak muda DUN Sabak hadir dalam program ini.

2. Saya ada kala bernostalgia dengan UMNO Bahagian Sabak Bernam. Asas politik saya ialah di Sabak Bernam. Saya tidak lupa Ketika YB Datuk Rahman menjadi Ketua Pemuda, delegasi pemuda Sabak Bernam mahukan saya pulang ke kampung mengetuai pemuda cawangan Tebuk Hj Yusuf. Beberapa siri perbincangan dengan Izamudin, Cikgu Badri dan Cikgu Halim dan akhirnya saya bersetuju pulang ke kampung. Sempat beberapa kali mewakili cawangan ke Bahagian Sabak Bernam, akhirnya persempadanan semula dan 7 cawangan di Sabak Bernam berpindah ke Sungai Besar.Walaupun saya bukan AJK Pemuda Bahagian Sabak Bernam namun saya dipilih sebagai AJK penaja Pemuda Bahagian Sungai Besar. Siri kehidupan berparti bermula disini.

3.Dalam taklimat TERANG saya menyenaraikan 250 isu salah tadbir kepimpinan kerajaan PAS-PKR-DAP sekarang yang mesti disebar luas kepada rakyat. Najib, BN, 1 Malaysia adalah jenama yang baik cum BN perlu penambahbaikan terhadap terhadap Tukang Promosi parti. SERANG mengambil tanggungjawab tersebut. Saya merumuskan parti memerlukan kita semua, apa sahaja daya usaha yang boleh dilakukan untuk memenangi PRU ke 13, lakukanlah.

4. Sebelum berakhir YB Rahman sempat berbisik "Setelah diberi mandat, lakukan sebaik mungkin dan jangan hiraukan kata-kata orang dibelakang. Semua yang berlaku atas ketentuan Allah swt". Semuga beliau tabah dengan dugaan.
Read more >>

Mengapa SERANG?

Thursday, March 1, 2012

1. Presiden Parti jenuh mengingatkan bahawa gendang pilihanraya sudah bermula. Paling awal 3 bulan lagi atau 6 bulan lagi atau tahun hadapan. Untuk mereka yang gemar berspekulasi nombor, biarlah mereka meneka dalam kesamaran. Teruskan bekerja.

2. Saya memulakan sepak bola di DUN Sijangkang. Kawasan EXCO yang baru dilantik iaitu YB Dr Ahmad Yunus, sekian lama mereka menuduh UMNO tidak Islamik, Allah menunjuk sebuah parti Islam yang menang di Selangor gagal menjadi EXCO agama Islam. PAS tunduk dibawah peraturan DAP. Hanya menjaga adat istiadat dan sukan semata-mata.

3. Kerja politik punya disiplin dan resam tersendiri. Percaya diri, jelas wawasan dan jangan peduli apa orang lain kata. Dalam politik semua tindakan diperkatakan. Kena kata akibat bekerja, 1,000 kali lebih baik dari kena kata kerana punya jawatan dan tidak buat apa-apa. Untuk mereka yang curiga jangan ada rasa gundah gulana, jangan berfikir terlalu berprasangka. Mari bersama mengumpul keringat bersama SERANG. Ini bukan masa bersinis sesama sendiri.

Terima kasih rakan-rakan Orang Muda DUN Sijangkang, sokongan anda dihargai.


Read more >>

SERANG di DUN Sijangkang

Tuesday, February 28, 2012

Program TERANG (Tekad Rampas Selangor) bersama anak muda di DUN Sijangkang di Bt 9 Kebun Baharu (rumah su PDM), malam ini 28 Februari 2012, Jam 8.30 malam. Ayuh! Kita ke sana..
Read more >>

Attack Attack Attack

Monday, February 27, 2012

Read more >>

Memulakan Sepak Bola 2012

Monday, January 2, 2012

1. Menutup tirai 2011 di ICT, Shah Alam bersama lebih 10,000 orang anak muda. Seawal pagi dari Sungai Besar mendapat maklumat dari rakan-rakan tentang pengedaran poster 901 di masjid-masjid sekitar Parlimen Sungai Besar. Bersama anak-anak muda tempatan laporan polis telah dibuat. Terima kasih akhbar Utusan Malaysia kerana membantu menyiarkan berita tersebut.

2. apakah jenama produk yang terbaik di dunia? Produk tersebut terbukti berjaya berada di pasaran semenjak adanya planet ini? Ada yang menyebut Coke, Adidas, Apple, Facebook. Semuanya adalah betul. Namun produk yang baik baik di muka bumi ini ialah agama.

3.Agama seringkali mempunyai pengikut fanatik. Punya dai yang sering mendakwa tentang kebaikan agama yang dibawa.Sama ada kita suka atau tidak; agama tidak pernah dijenamakan mengunakan agensi pengiklanan. Agama kembang subur dari mulut ke mulut, berkembang dari individu, generasi dan kelompok.

4. Sejauh mana keberkesanan menggunakan agensi pengiklanan dalam menjenama dan memberi projeksi positif kepada jenama parti? Majoriti mereka cuba memberi persepsi positif pada kognitif (otak) publik. Apa yang berlaku apabila pengalaman peribadi publik langsung berbeza dengan projeksi tersebut? Di Singapura iklan HSBC dikritik hebat apabila iklan menonjolkan ucapan ulang tahun kepada pelanggan namun realiti sebenar tiada ucapan kepada pelanggan yang hadir ke bank.

5. Hati-hati membina jenama dengan pengiklanan yang penting kualiti produk mesti seiring dengan mesej pengiklanan. Sayangi Selangor Yakini BN.
Read more >>

Adam Adli Biadap

Wednesday, December 21, 2011

Mahasiswa hilang kewarasan tatkala kebencian melampau menguasai diri. Apa lagi yang Adam ini mahu? Saya mengulas dalam Bila Budi Bicara, saluran Youtube.

Read more >>