Followers

Saturday, May 30, 2015

Peniaga Persoal Tindakan MDSB


1.    Pemilik pusat pengumpulan dan pembelian tandan buah sawit segar di beberapa kawasan Sungai Panjang mempersoal tindakan MDSB yang mengarahkan mereka memiliki lesen perniagaan, sedangkan kawasan itu  bukan di bawah pentadbiran agensi berkenaan.

2.    25 pemilik resah selepas diarahkan membayar lesen perniagaan RM 250 setahun dan sekiranya gagal, mereka bakal dikenakan kompaun.

3.    Mereka telah  menerima notis tersebut daripada MDSB pada 21 april 2015.

4.    Pemilik ini juga sudah memiliki 3 lesen iaitu lesen daripada MPOB, lesen daripada SSM dan lesen daripada KPDNKK, mereka perlu membayar sekurang-kurangnya RM 3000 untuk menghidupkan lesen-lesen tersebut serta cukai.

5.    Saya bantah tindakan MDSB kerana ia amat membebankan pemilik tersebut dan MDSB perlu memperjelaskan keadaan ini adakah kawasan terbabit di bawah permantauan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan apakah perkhidmatan yang boleh mereka berikan kepada peniaga ini.

6.    Saya juga akan menghantar memorandum kepada MDSB pada waktu yang terdekat.

Rujukan : Artikel Sinar Harian, 30 Mei 2015, “Peniaga persoal tindakan MDSB”

Friday, May 29, 2015

Penduduk Dun Sungai Panjang derita sakit kronik

1.      Pada 24 Mei 2015 telah diadakan program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Pekan Pasir Panjang oleh Pantai Medical Centre, Bangsar.

2.   Ini susulan daripada ramainya pesakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan masalah jantung berada di dun saya.

3.  Saya juga mempunyai program kesihatan khusus bersama JKM dan Pusat Kesihatan menerusi Program Ziarah Kasih.

4.    Didalam perancangan, saya akan menyediakan sebuah bas untuk membawa pengundi wanita sekitar Pasir Panjang untuk menjalani pemeriksaan mamogram di hospital berkenaan.
      
 Rujukan: Akhbar Sinar Harian bertarikh, 27 Mei 2015, “Penduduk Dun Sungai Panjang Derita Sakit Kronik”

Thursday, May 28, 2015

Penuntut diingat tidak mudah terpengaruh

      1. Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Pembiayaan PTPTN telah diadakan di Restoran  D’Muara Sungai Haji Dorani.

    2. Permasalahan yang sering berlaku kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka  melanjutkan pengajian di menara gading adalah masalah kekangan wang.

    3. Justeru , pemberian wang pendahuluan ini dapat memberi kemudahan kepada bakal  penuntut dalam menguruskan segala urusan ketika di IPT.

    4. Penuntut diminta untuk berhati-hati ketika menerima maklumat yang mencurigakan daripada pengaruh luar supaya tidak  terjerat dengan kepentingan politik pihak yang tidak bertanggungjawab.

Rujukan : Artikel Sinar Harian bertarikh 25 Mei 2015, “PENUNTUT DI INGAT TIDAK MUDAH TERPENGARUH”

Friday, October 11, 2013

Masyarakat yang hilang sakti

1. Kita hidup dengan kesaktian. Mempunyai sifat hikmat, semangat, bijaksana dan keberanian. Apabila saya turun ke bawah bersama masyarakat kelihatan sifat-sifat itu semakin luntur dan tidak polos.

2. Setiap tahun kita merayakan aidiladha, berhimpun di seluruh pelusuk kampung dengan amalan ibadat korban. Saya mencatat ringkas di FB. Penghayatan itu lebih penting, kerana dengan penghayatan akan membentuk nilai, sikap dan tingkahlaku. Korban bukan sekadar memperingati pengorbanan Nabi Ismail dan Ibrahim, ia lebih dari itu.

3. Ada betulnya sajak filsuf Jawa, Rangga Warsita dalam karya sastera Jawa (kalathida) yang bertajuk Zaman Edan ( Zaman Gila). "Menyaksikan zaman gila, serba susah dalam bertindak, Ikut-gila tidak akan tahan, tapi tidak mengikutinya-gila".

4. Kampung dilanda ribut, menyaksikan terserlahnya kegilaan masyarakat.Ibu keseorangan yang ditinggalkan oleh anak-anaknya dan membiarkan ibu kesejukan di malam hari. Keluarga yang berkemampuan untuk menampung kos baik pulih namun membiarkan agar ia menjadi beban jabatan. Kita semakin jauh dari acuan sendiri.

5. Semakin sajak itu menjadi benar. Jika tidak diikutkan persepsi buruk akan tercalit. Jika keseluruhan diikutkan tentulah tidak tertahan.

6. Tentulah tindakan politik mesti bijaksana dan berhikmah. Realiti itu mesti dihazam namun perancangan menghadapi realiti lebih penting. Rangga mengingatkan "Sebahagia-bahagianya orang yang lalai, akan lebih bahagia orang yang tetap ingat dan waspada". 

Wednesday, September 18, 2013

Memahami kesakitan masyarakat?





1. Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 50 pada tanggal 16 September yang lalu. Selain dari mengingati Hari Malaysia tarikh 16 September akan tetap dikenang sebagai cubaan tipu -tipuan Anwar Ibrahim membawa Ahli Parlimen BN dan menjayakan cita-citanya sebagai Perdana Menteri.

2.Merdeka 56 tahun dan Malaysia 50 tahun, cabaran utama ialah ialah mengubah sikap dan mentaliti rakyat. Kita sering menyelesaikan masalah hanya dengan -selesaikan masalah tanpa mencari punca sebenar masalah.

3. Saya didatangi oleh penjaja kecil yang berniaga makanan dalam masa yang sama menyediakan khidmat karaoke dengan bayaran RM1 sebuah lagu. Pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengenakan kompaun kepada peniaga kecil ini sebanyak RM50,000. Khabarnya kompaun ini adalah kerana kegagalan para penjaja mematuhi peraturan hiburan.

4. Apabila kisah ini saya post di fb saya, ia mendapat debat yang hangat tanpa mengambilkira punca masalah tersebut. Para penjaja datang dengan linangan air mata menceritakan hasil kedai makan adalah punca mereka menyara anak di universiti, masih bersekolah dan belanja dapur. Pendapatan mereka merosot teruk.

5.Para penkomen majoriti mengambil jalan mudah menjadi ahli mufti pasang siap terus menghukum fatwa tanpa mereka sendiri melihat suasana kedai makan tersebut. Para peminat PAS dan PKR menjadi paling hipokrit padahal ada juga turut makan dan berdendang di kedai yang sama.

6.Bagaimana membantu mereka? Pihak Kerajaan Negeri yang kerap bermimpi syurga patut membantu penjaja kecil dengan rezab tunai yang sekian banyak yang mereka miliki. Bantulah mereka jika aktiviti mencari makan mereka tidak mesra syurga. Berilah garis panduan yang jelas untuk membantu mereka.Tentulah kerajaan berkebajikan akan membantu rakyat dalam kesusahan.

7. Punca utama jenayah kecil-kecilan kerana kesempitan wang. Jangan sempitkan peluang mereka mencari wang. Jika tidak dapat membantu, jangan menyusahkan mereka. Lebih pedih lagi, para penkomen yang telah ke menara gading tidak turun ke bawah membantu rakyat. Amat menyedihkan mereka gemar menjadi mufti pasang siap dari menghulurkan bantuan. 

Friday, August 30, 2013

Mengapa Saya Tidak Rasa Bersalah?



1. Apabila saya mengilhamkan lagu dan video sebagai alat memperkenalkan Sungai Panjang (kawasan yang diwakili) ramai yang memandang dengan sinis. Ia semakin beransur baik apabila Feri Merdeka berada untuk tatapan penonton semalam.

2. Saya terdidik dengan NLP- Neuro Linguistic Program, memahami hypnosis dan mendalami covert hypnosis. Dalam pelatihan ini elemen utama yang diperkenalkan ialah anchoring -`memandang apa mengingat apa'. Apabila kita menyebut perkataan ubat gigi- fikiran kita akan terus mengingati Colgate, mee segera - Maggie, ayam goreng - KFC.

3. Begitu juga ahli politik, saya mahu membina anchor menerusi lagu, video dan perkhidmatan. Sudah tentu perkhidmatan adalah sesuatu biasa dengan peranan sebagai wakil rakyat. 

4.Mengapa video? Dalam menyampaian mesej video merangkumi 3 elemen mesej VAK - Visual, Audio dan Kinesthetic. Mesej diterima menerusi mata, telinga, sentuhan dan pergerakan. Kerap kali ibu menangis menonton filem Sangam, sedangkan ibu tidak pernah mendalami bahasa Urdu.

5. Bagaimana mengukur kejayaan? Tentu ia mengambil masa. Fahami komen pada media sosial dan bersemuka dengan audien. Jika ia menjadi bahan kutukan rakan-rakan, ada potensi ia berjaya kerana ia mula dicemburui.

6. Saya tidak akan berhenti. Dalam apa jua industri yang memulakan akan tetap dikenang dan diingati. Dikenang dan diingati merupakan pendekatan populis. Selain dari berkhidmat apa salahnya menjadi populis?  

Selamat Menyambut Kemerdekaan Ke-56. Hargai mereka yang berkorban untuk kesenangan semua.

Saturday, August 17, 2013

100 Hari Pakatan Memerintah Selangor, Apa yang Baharu?

Pada pilihanraya Raya Umum ke-13, sejumlah dua juta pengundi di Selangor telah turun ke pusat-pusat  mengundi. Dua juta pengundi tesebut telah membuat keputusan pada pada PRU13 di Selangor pada 5 Mei 13. 

Semua telah mengetahui keputusannya. Ia tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN), Sebaliknya puak pakatan yang berjaya membentuk kerajaan apabila memenangi 44 kerusi dengan pecahan 15(PAS),15(DAP) dan 14 (PKR).


Pada PRU-13 Pakatan gagal mempertahankan kerusi Kota Damansara dan Bukit Malawati. Namun mereka berjaya menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Sabak, Taman Templer, Tanjung Sepat,  Paya Jeras, Sri Serdang, Kuala Kubu Baru, Sementa, Morib dan Sungai Pelek.


Selepas PRU13 selesai, Selangor muncul sebagai negeri yang paling lewat mengumumkan Menteri Besar. Ini disebabkan kelewatan pihak Pakatan mengemukakan senarai calon Menteri Besar kepada pihak Istana. Akhirnya hanya satu calon yang dikemukakan.


Calon tersebut ialah Tan Sri  Khalid Ibrahim yang pada PRU13 telah berpindah dari kawasan panas iaitu DUN  Ijok ke kawasan lebih selamat di Pelabuhan Kelang. Walaupun terdapat pelbagai protes dalaman PKR termasuk pelbagai cadangan supaya Ahli Dewam Undangan Negeri(ADUN) dari Pas yang dilantik sebagai Menteri Besar, tetapi beliau tetap dilantik semula sebagai Menteri Besar.


Pas dikatakan lebih berhak mendapat jawatan itu kerana mereka ada 15 wakil di DUN berbanding PKR hanya 14. Tetapi pelantikan semula Khalid telah mengketepikan semua rasional tersebut.


Dalam PKR sendiri, terdapat suara-suara yang tidak mahukan Khalid sebagai Menteri Besar.  Sebaliknya mereka mahukan Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar kerana jawatannya dalam parti lebih kanan iaitu Timbalan Presiden.  Tetapi semua bantahan tersebut tidak memberikan sebarang bekas.


Sebaik sahaja Khalid dilantik ke jawatan tersebut, tindakan pertama beliau ialah menggugurkan dua exco lama daripada senarai exco kerajaan negeri yang baharu. Mereka yang digugurkan ialah Yaakob Sapari(Kota Anggerik) dan Xavier Jayakumar (Seri Andalas).


Bagi pihak BN, proses  demokrasi dan pilihan yang dibuat oleh rakyat diterima dengan perasaan terbuka. Kegagalan BN untuk merampas semula Selangor diterima dengan lapang dada. Tidak seperti kerajaan pakatan yang pakatan yang terus-terusan mempertikaikan keputusan PRU 13. Mereka memperkenal istilah `undi popular’sebagai asas mempertikaikan keputusan tersebut.


Dalam masa yang sama mereka mengetahui prinsip `First Past The Post’ dan perwakilan berdasarkan mengikut bahagian pilihanraya. Kemenangan calon ditentukan dengan berdasarkan majoriti mudah.Parti yang menang berdasarkan  majoriti kerusi pula (biarpun dengan satu kerusi akan membentuk kerajaan.Di Selangor, berdasarkan undi DUN, BN mendapat 693,956 undi (40%) berbanding Kerajaan Pakatan yang mendapat 1,050,665undi(60%).Jika berdasarkan kepada logik pakatan seperti yang selalu mereka hebahkan di ceramah-ceramah, sepatutnya BN  di Selangor mendapat 22 kerusi, bukannya 12 kerusi yang ada sekarang ini. Itu kiraan jika berdasarkan undi popular yang dicanang oleh pakatan.


Kini, sudah 100 hari Kerajaan Pakatan memerintah,namun masih belum ada perkhabaran baharu atau gembira buat rakyat  Selangor. Terutama daripada perlaksanaan manifesto pakatan pada PRU 13.


Rakyat masih tertunggu-tunggu untuk merasai hasil daripada perlaksanaan manifesto tersebut. Tetapi sepatutnya rakyat Selangor tidak perlu mengharap apa-apa daripada manifesto tersebut kerana awal-awal lagi sudah ditegaskan bahawa ia bukan satu janji. Maknanya,jika sudah bukan janji maka tentunya tiada jaminan perlaksanaan.


Sidang DUN Selangor  pula telah berakhir pada awal Julai yang lalu. Sidang itu menjadi kritikan awam apabila apabila Menteri Besar membentangkan enakmen perbelanjaan tambahan sebanyak RM761 juta. Tindakan ini dikritik kerana tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba kerajaan negeri membentangkan perbelanjaan tambahan. Jika diperhatikan suasana sekeliling, tiada malapetaka besar atau krisis ekonomi yang menuntut kepada satu perbelanjaan luar jangka.


Tindakan ini memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan gagal merancang penggunaan wang wang secara berhemah dan bertanggungjawab. Apatah lagi, ini adalah mesyuarat pertama bagi penggal pertama persidangan DUN.


Sebahagian besar wang dalam perbelanjaan tambahan tersebut adalah adalah sebagai pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad. 


RM80 juta  diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi mengambilalih tanah tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membangunkan projek Datum In-City. Persoalannya mengapakah entiti perniagaan tersebut tidak menggunakan sumber kewangan sendiri atau menggunakan intrumen pinjaman kewangan dalam membiayai urusan perniagaan mereka?


Mengapakah wang rakyat harus digunakan dalam menjalankan operasi perniagaan mereka? Sedangkan kedudukan kewangan syarikat-syarikat itu dikatakan dalam keadaan kukuh.


Rakyat juga tentunya akan terus mengingati 10 perkara dalam aku janji Khalid, yang antara kandungannya ialah memelihara prinsip rukun negara, kedaulatan institusi raja, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu,serta perpaduan kaum. Rakyat menanti dan mahu melihat sejauh mana ikrar dalam akaujanji itu akan dilaksanakan. Atau itu semua sekadar janji-janji manis di tepi bibir yang tidak akan kunjung tiba.


Bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor pula, para Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) telah dan akan terus bekerja untuk membela dan mengambil hati rakyat.


Pelantikan Datuk Seri Noh Omar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor tentunya akan memberikan fokus kepada barisan pengurusan untuk terus bersedia bagi menghadapi PRU ke 14. Inilah masa untuk bersatu hati dan tindakan.


Nota: seperti yang dipaparkan dalam Utusan Malaysia 15/8/2013 ms 11

Saturday, August 10, 2013

2G - Gopoh & Gelojoh


1. Sekarang ini mood berhari raya. Berkunjung ke rumah sanak saudara dan dalam masa yang sama dikunjungi rakan dan taulan. Setahun sekali bertemu muka, tentunya ada banyak perkara yang yang disembangkan. Dari perkara berat politik sampailah kepada Nealofa dan Maema Embong (betul ke ejaan mereka?).

2. Unik Raya pada tahun ini bersekali dengan mood pemilihan UMNO. Kali terakhir pemilihan tahunan ialah pada tahun 2008 namun pemilihan pada tahun 2009. saya melihat terang dan nyata pertembungan Ketua Pemuda Malaysia antara Mukhriz-KJ-Khir Toyo. Saya berpengalaman berharga dalam pemilihan Ketua Pemuda Bahagian pada ketika itu. Bukan ramai yang terbuka sanggup menerima kesan dari pemilihan terutama pihak yang tewas.

3.Bayangkanlah marathon politik yang dilalui. Mac 2008-PRU 12, November 2008- pemilihan Bahagian dan Mac 2009- Pemilihan Pusat. Berkelanalah saya dari Perlis sampai ke Sabah memerhati aturan kempen. Banyak yang dipelajari dan ditekuni. Ada sebuah negeri, membentuk agen kempen dan mereka ini menjadi jentera kepada ketiga-tiga calon. Taat setia ditunjukkan pada screen saver, tentulah ada jentera yang kantoi apabila screen saver lewat ditukar. Ha..ha.

4.Saya menaiki tangga politik dari bawah. Bermula dengan ketua pemuda cawangan, AJK Pemuda penaja, ketua penerangan pemuda, ajk pemuda bahagian dan ketua pemuda bahagian. Sebelum ini saya banyak membantu di peringkat pemuda pusat. 

5. Tahun 2002, saya pulang ke kampung menjadi aktivis politik kerana keadaan, kebetulan pemuda cawangan tidak hidup. Datuk Rahman Bakri (Mantan MP Sabak) - ketika itu Ketua Pemuda Sabak Bernam datang meminang di Kuala Lumpur. Menjadi perantara ialah Cikgu Badri dan Izamuddin (sekarang menjadi orang kuat MP PKR Batu Pahat Datuk Idris Jauzi).

6. Oktober 2010, 3 hari sebelum Tan Sri TPM datang ke SK Seri Sekinchan, UMNO Bahagian Sungai Besar mula berkocak. Ketua Bahagian Dr Khir Toyo digantung keahlian atas kes rasuah. Saya dipanggil oleh pemimpin atasan dan rangkaian dinasihati agar menjaga parti dan jangan lakukan perkara pelik-pelik. Track record zaman universiti memang berkeupayaan melakukan sedemikian.

7. Pencarian bakat bermula. Vacum ada dan saya menekuni tugasan-tugasan yang diberikan. Walau pun tidak sempurna, saya cuba lakukan dengan sebaik mungkin. Mengapa kronologi ini saya kisahkan?

8. Saya didatangi oleh ketua-ketua cawangan supaya menerajui tampuk kepimpinan bahagian. Pada mereka wakil rakyat wajar memimpin bahagian. Politik adalah kerjaya yang ditakdirkan. Saya sayangkan parti dan tidak rela parti berpecah. Bekerja terus demi memandaikan bangsa. Saya sudah melihat kegopohan dan kegelojohan politik akan menjerumus diri.

9. Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

 Masa akan menentukan.

Saturday, August 3, 2013

Menjaga Akhlak Politik

1. Berdasarkan dari pengamatan, rakyat rupanya mempunyai set kehendak pemimpin yang sudah ada dalam pemikiran mereka. Mereka mahukan pemimpin yang mempunyai akhlak dan rendah diri.

2. Mudahkah mengukur akhlak para pemain politik? Mampukah para pemain politik menjadi seorang moralis? Dalam banyak tindakan mereka mengenepikan isu akhlak asalkan maksud mereka sampai.

3. Akhlak politik biasanya diukur dengan akhlak sosial dan non sosial / peribadi.  Mengikut pandangan rakyat berfahaman konservatif pemimpin perlu mempunyai akhlak peribadi yang sempurna. Maksudnya menghampiri maksum. Ada juga pengikut yang berfahaman liberal menolak isu akhlak asalkan mereka boleh memimpin dengan membawa kemajuan.

4. Sebagai seorang Muslim tentunya kita tidak merasa selesa jika dipimpin oleh individu yang mempunyai masalah moral. Sebagai pengikut kita juga jangan membuang masa mempertahan pemimpin yang tidak bermoral.

5. Kayu ukur akhlak itu ialah kepentingan. Sempadan nipis membezakan antara kepentingan awam dan kepentingan peribadi.

6. Ada menegur apabila saya mengambil pendekatan popular. Saya faham popular bukan segala-galanya namun politik itu perlu ekspresi, penzahiran. Dengan segala macam media kovensional dan media sosial kenyataan biasa boleh ditafsir luar biasa.

Salam Ramadhan yang semakin berakhir.

Monday, July 29, 2013

Mencari makna

1. Belum sampai 100 hari saya berkhidmat sebagai wakil rakyat. Namun ia memberi makna yang besar terhadap pengertian politik. Politik bukan sekadar political game namun ia lebih kepada kepimpinan dan pengolahan kuasa.

2. Ramai yang beranggapan pemimpin itu punya lampu ajaib, memberi arahan kepada orang lain dan penyelesai setiap masalah. Tentunya mengurus politik dalam terma organisasi sukarela, berhubung dengan teman-teman yang juga sukarela (dibaca: tiada yang percuma di dunia). Pemain politik rupanya tiada istilah pencen.

3. Benar, jadual aktiviti politik sentiasa penuh dan sibuk. Saya mesti bermula dengan wawasan memandai dan memajukan bangsa. Garapan-garapan kecil juga mesti diperkemaskan dari aspek pendidikan politik, peningkatan ekonomi dan kemajuan sosial. Rupanya kita cenderung menjalankan aktiviti politik yang kita minati. Politik mesti dikembangkan dengan dimensi ilmu dan seni.

4.Politik itu adalah seni berkemungkinan (art of possibilities). Pemimpin politik hadir dengan seruan (panggilan) terhadap perjuangan yang ditakdirkan. Politik adalah medan pengabdian jiwa perjuangan.Politik itu adalah kefahaman kepada wawasan dan kuasa itu perlu sebagai alat untuk menyejahterakan rakyat.

5. Rupanya politik bukan sekadar meraih kuasa tetapi juga kemahiran membuat keputusan. Keputusan juga bermaksud 'saya bersetuju untuk tidak bersetuju'.

6.Oleh kerana politik itu seni berkepentingan, walaupun kita tidak suka politik namun politik tetap akan mencari kita. 

7. Dalam politik tidak ada naib johan yang ada menang dan kalah. Sejarah adalah milik mereka yang memang. 

Tuesday, July 16, 2013

Selera Amarah


1. Perkembangan kebelakangan masa ini menuntut nafsu amarah dengan gelora-gelora sekali.  Benarlah menampakkan kemarahan samalah seperti membuang sampah di hadapan khalayak. Tidak kira samada kita pemimpin kecil atau besar apabila sensitiviti diusik maka jelaga amarah pun menular.

2. Mengapa sensitivi berani diusik? Ia berlaku apabila sasaran melihat kita tidak kuat dan seperti kehilangan kuasa. Dalam 3 pilihanraya utama kaum Tioghua menolak Barisan Nasional. 1969, 2008 dan terkini 2013. Mimpi buruk dalam sejarah PRU 2013, apabila sokongan Kaum Tionghua semakin merosot. Kebencian DAP berterusan membunuh MCA dan kepercayaan kaum Tionghua.

3. Alvin dan Vivian adalah pasangan Tionghua yang mempersendakan Ramadhan dengan memuat naik foto bah kut teh - sup tulang babi. Bukan itu sahaja perkataan wangi, enak dan menyelerakan bersekali dengan logo halal. Adakah mereka sengaja tidak faham soal sensitiviti kaum? Mahasiswa Universiti Kebangsaan Singapura ini pernah  mempersendakan Barisan Nasional bergambar bogel disebalik bendera parti itu sebelum pilihanraya umumm ke 13.

4. Apa kayu ukur sabar dan marah? Ia bergantung kepada sejauh mana emosi diusik. Orang yang mengusik dan yang kena usik saling beremosi. Emosi kecil terbakar menjadi bencana besar.

5.Mereka telah memohon maaf atas ketelanjuran. Cukup sekadar maaf? Berapa ramai mirip pasangan Alvin dan Vivian mahu berterusan subur? Tentunya sesuatu yang pelik apabila Muslim PAS dan PKR tidak sensitif terhadap isu ini. Mana perginya model Mursyidul Am dalam isu ini. Adakah kali ini atas nama pemuafakatan politik sekali lagi kemaafan mereka bakal diterima oleh PAS sama seperti episod sensitiviti yang dipijak merujuk isu Kalimah Allah.  

Berpuluh tahun kita membina negara. Jangan jatuh kerana hilang fikiran. Namun, kemarahan adalah isyarat dan ia bernilai untuk didengar.

Saturday, July 6, 2013

Pertembungan Naluri


1. Sepanjang Sidang DUN Selangor, BN berhadapan dengan 44 orang ADUN dari Pakatan. Suasana ini memerlukan persediaan kerana liputan langsung oleh pihak Kerajaan Negeri membuka ruang kepada eksploitasi.

2. Media on line mereka sentiasa fokus dan kerap mensasarkan kepada setiap kelemahan BN walau pun kelemahan itu bukan berbentuk fakta namun dan ia lebih kepada kemahiran penghujahan. Ini berlaku kepada Ketua Pembangkang dan ADUN Dengkil.Mereka menjadi mangsa.

3. Kebencian berterusan ditiupkan secara berterusan kepada BN. Ada kalannya tuduhan tersebut gagal disangkal kerana ia melibatkan individu yang tiada dalam Dewan. Adun Sekinchan kerapkali menuduh individu seperti Dr Khir Toyo dan Dato Noh Omar, tentunya sesuatu yang tidak adil kerana individu ini tiada dalam Dewan untuk mempertahankan tuduhan.

4. Oleh kerana penghujahan ini satu seni, ramai yang sedar apa sahaja yang menguntung Pakatan mereka gunakan semaksima mungkin. Sidang Dun yang biasanya fokus kepada isu negeri telah menjadi platform membincangkan isu Persekutuan. Isu undi popular dimainkan sehangat mungkin walau pun mereka sedar penubuhan kerajaan mengambilkira prinsip First Past The Post. Dikalangan mereka ramai peguam tentunya mereka mahir Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 7 Akta Pilihanraya 1958.

5.Di pihak BN penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah membina budaya kerja berasaskan penyelidikan. Para penyelidik yang berpotensi boleh digilap namun ia perlulah ada orientasi politik. Ini kerana tafsiran mesti diberikan kepada maklumat yang diperolehi.

6. Kemahiran berdebat yang menjengkelkan pihak lawan mesti dipertingkatkan. Ini memerlukan keberanian dan disokong dengan fakta dari penyelidikan. Pengalaman debat ala Parlimen di universiti banyak membantu. Ada kalanya celahan dan soalan-soalan tambahan yang dikemukakan memerlukan pengalaman.

7. Pakatan adalah entiti yang berpecah-belah namun mereka faham politik. Mereka faham common enemy, juga mereka faham matlamat khusus. Ramai di kalangan mereka tidak suka Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar. Ketidaksukaan mereka tidak sampai membibitkan kebencian.

8. Membina keberanian sangat penting dalam perkara ini dan jangan sampai kita kehilangan jantan.

Sunday, June 30, 2013

Bermula dengan Semangat Baru


1. Bukan menjadi rahsia umum kerusi DUN BN di Selangor dari 22 menyusut kepada 12. BN pada kali ini keseluruhannya diwakili oleh UMNO.

2. Sidang DUN pada kali ini akan bermula dari 1 hingga 5 Julai dan 8 hingga 12 Julai 2013. Pembukaan Penggal telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

3. Apabila kerusi DUN BN berkurang kepada 12, ada juga yang memperlekehkan dan tidak kurang juga yang meniup semboyan perjuangan. Jangan lupa 2004, DAP tinggal 2 kerusi di Sungai Pinang dan Sekinchan. Yang perting kerjasama dan kerja kuat.

4. Tentunya ini pengalaman baru. Memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Peraturan Tetap Dewan Negeri merupakan ilmu baru dalam hidup. Sepanjang minggu banyak masa diperuntukkan untuk menghazam dokumen-dokumen ini.

5. Gandingan bersama YB Datuk Sam selaku Ketua Pembangkang dan nasihat-nasihat dari senior BN banyak memberikan input dan tips.

6. Apa motivasi saya dalam berhadapan dengan Kerajaan Selangor? Benar ramai yang berpengalaman namun semuanya juga pecandu nasi dan sambal belacan. Sama seperti saya.

Ayuh! Kita ke medan perbahasan.

Tuesday, June 25, 2013

Mengenai Angka Politik

1. Politik itu adalah seni angka. Majoriti 1 undi dan 1,000 undi adalah sama. Iaitu menang. Sebab itu dalam pertembungan politik keghairahan mencari majoriti besar ada kalanya boleh melalaikan.

2. Dalam mencari angka tentunya paling penting ialah pangkalan data. Gerak kerja perlu fokus supaya tidak berlari dalam gelap. Kembali kepada asas 80-20 adalah menang dan 51-49 juga menang.

3. Dalam menyemai seni angka, kita tidak boleh lari dari pangkalan data. Saintis dan penasihat politik kerap kali menyebut, kita menang 60 peratus bla..bla.. namun berapa ramai yang menyebut berasaskan pangkalan data.

4.Dewasa ini saya kerap dikunjungi individu yang mahu bertanding jawatan dalam parti tidak kita di peringkat bahagian atau kebangsaan. Mereka tidak dapat membezakan antara harapan palsu dan realiti kekuatan. Mereka kerap berfantasi berasaskan syok sendiri.

5.Rakan - rakan yang mahir pengaturcaraan komputer, ini zaman saudara mencipta nama dalam industri politik. 

Tuesday, June 18, 2013

Mengapa Sungai Besar Tolak Blackout 505


1. Pihak Pakatan masih lagi tidak dapat menerima keputusan PRU ke 13 yang mereka fitnah sebagai pilihanraya penuh dengan penipuan. Jika pilihanraya ini penuh dengan penipuan tentunya mereka tidak memenangi Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Bahkan mereka menang majoriti dari Parlimen di Wilayah Persekutuan.

2. Demi menyemai persepsi kebencian berterusan pihak Pakatan sangguh menfitnah terdapat 40,000 pengundi Bangladesh. Berlaku kejadian padam lampu ketika pengiraan undi - sehingga kini dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan.

3. Rakyat perlu sedar mereka perlu fokus untuk membangunan negeri yang mereka menang. Isu perumahan di Selangor dan Pulau Pinang. Isu peluang pekerjaan di Kelantan haruslah menjadi keutamaan mereka.

4. Mengapa kami di Sungai Besar menolak Perhimpunan ini? Majoriti pengundi di kawasan ini menolak Pakatan. Ini diterjemah melalui undi di Parlimen Sungai Besar dan DUN Sungai Panjang. Lokasi kawasan (Tonggak 10) berhampiran jalan utama Sabak Bernam - Kelang. Ini akan menyebabkan kesesakan lalu  lintas dan menyusahkan rakyat.

5. Buatlah di Stadium. Jika mereka mengidam sangat untuk diadakan di Sungai Besar mereka boleh adakan di Stadium Sungai Besar.

6. Jangan atas sebab perhimpunan rakyat akan meluat dengan Pakatan. Rakyat di Sungai Besar bergelumang dengan kenaikan cukai pintu dan masalah sampah yang tidak diselenggara dengan sempurna.

7. IPD Sabak Bernam mengesahkan bahawa permohonan perhimpunan dibuat kurang dari 10 hari. Tentunya ini menyalahi peraturan yang sedia ada. Apa lagi? Ini kalilah.

Total Pageviews

Popular Posts

Fikir - Fikir

Perpaduan parti bermula dengan kasih sayang, kasih sayang bermula dengan hati. Jangan ada benci dan prasangka.

Sahabat

Perpaduan parti bermula dengan kasih sayang, kasih sayang bermula dengan hati. Jangan ada benci dan prasangka.

Rangkaian Selangor

My Blog List

Blog Archive

Minda Negara